Perbicaraan 1MDB Najib dihenti selepas peguam diarah dikuarantin kerana Covid-19

Bekas perdana menteri Najib Razak berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Ambank milik beliau.

KUALA LUMPUR: Pendengaran bagi perbicaraan kes 1MDB Najib Razak tidak dapat diteruskan hari ini selepas mahkamah diberitahu bahawa pasukan peguambela diarahkan dikuarantin susulan wabak Covid-19.

Peguam Noor Farhah Mustaffa, mewakili peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan 7 yang lain berkata, seorang pengamal perubatan menasihati supaya mereka dikuarantin selepas pasukan itu menghadiri satu kenduri dengan kakak ipar Shafee.

Noor Farhah berkata, ipar beliau bekerja di Sirim Bhd dan berhubung rapat dengan kakitangannya yang disah positif Covid-19.

“Kami mengaku janji akan menyerahkan kepada mahkamah surat yang mengarahkan mereka dikuarantin,” katanya kepada hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Beliau berkata, rakan sepasukannya telah bersedia untuk meneruskan perbicaraan 1MDB hari ini, tetapi mereka memohon penangguhan sementara berdasarkan perkembangan terbaru ini.

Pendakwa raya ad-hoc Gopal Sri Ram berkata, ia adalah perkara serius dan beliau sendiri telah menjalani ujian Covid-19 selepas berhubung dengan beberapa peguam lain.

“Keputusan ujian adalah negatif. Esok saya akan menjalani pemeriksaan kali kedua,” katanya.

Sequerah kemudian membuat kenyataan berseloroh dengan berkata, “penyebaran virus itu lebih cepat berbanding perjalanan perbicaraan ini.”

Mahkamah kemudiannya mengarahkan Farhah mengemukakan surat yang mengarahkan Shafee dan rakan pasukannya dikuarantin, selain ujian pemeriksaan kakak ipar beliau.

“Melainkan selepas saya melihat suratnya esok, saya tidak nampak kenapa perbicaraan ini tidak boleh diteruskan,” katanya.

Perbicaraan 1MDB akan disebut di hadapan Sequerah esok.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Ambank milik beliau antara Feb 2011 dengan Disember 2014.