Sabah akan umum pakej rangsangan hadapi kesan Covid-19

Ketua Menteri Shafie Apdal (tengah) menerima cenderamata daripada setiausaha agung Forum Ekonomi Islam Dunia (WIFE) Ahmad Fuzi Abdul Razak di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Sabah akan mengumumkan satu pakej rangsangan sendiri bulan depan bagi mengurangkan kesan wabak Covid-19, kata Ketua Menteri Shafie Apdal.

Shafie berkata, walaupun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan pakej rangsangan untuk seluruh negara sewaktu menjadi perdana menteri interim baru-baru ini, negeri itu juga memerlukan program sendiri.

“Kita percaya akan ada kesan limpahan bagi Sabah (daripada pakej rangsangan pusat), tetapi kita juga perlu ada program sendiri untuk kebaikan rakyat.

“Kita tidak akan menjelaskannya sekarang, tetapi ia menyasarkan rakyat. Walau apapun inisiatif itu, ia mesti menjana peluang pekerjaan bagi mereka yang terkesan oleh perang perdagangan antara AS-China dan wabak Covid-19.

“Kita juga melihat kepada projek besar bagi menghasilkan kesan lebih besar ke atas ekonomi negeri. Mudah-mudahan bulan depan kita dapat merealisasikannya dan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Forum Ekonomi Islam Dunia di sini, hari ini.

Shafie berkata, dengan adanya pakej rangsangan peringkat negeri, Sabah akan dapat menggubal strategi sendiri bagi mengatasi masalah yang dihadapi.

“Kita memandang kepada ruang di mana orang ramai mempunyai wang, tetapi hanya menyimpannya dibank dan tidak membuat pelaburan berikutan keadaan yang tidak menentu.

“Tetapi saya fikir inilah masanya untuk membuat pelaburan kerana ia lebih murah. Saya tidak fikir ia merupakan masalah jangka panjang,” katanya.

Berhubung rakyat Sabah yang menghadiri perhimpunan tabligh di sebuah masjid di Seri Petaling, Kuala Lumpur, Shafie berkata, mereka yang hadir harus dikenakan kuarantin di rumah masing-masing.

“Kita telah mengambil langkah bagi menghalang penularan wabak Covid-19. Kita perlu pastikan mereka dikuarantin. Jika merka datang dari tempat tertentu, dasar sama akan dilaksanakan.

“Setakat ini, walaupun terdapat ramai pengunjung ke Sabah, keadaan masih terkawal. Mudah-mudahan keadaan itu berterusan.

“Jika sesiapa disahkan positif (Covid-19), kita akan ambil tindakan perlu. Kita ada doktor dan pegawai perubatan untuk menanganinya,” kata beliau.

Semalam pegawai perubatan daerah Tawau Dr G Navindran menasihati kira-kira 350 penduduk tempatan yang menghadiri perhimpunan tabligh dari 27 Feb hingga 1 Mac itu supaya menjalani segera pemeriksaan perubatan di daerah itu.

Kementerian Kesihatan berkata, kes jangkitan ke-131 yang disahkan dalam kalangan 10,000 peserta yang menghadiri perhimpunan tersebut, termasuk 5,000 rakyat negara ini.

Ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki tempatan berusai 60 tahun itu menghadiri perhimpunan berkenaan dan disahkan positif Covid-19 pada 10 Mac.