Saifuddin akan teliti undang-undang berita palsu

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah.

PUTRAJAYA: Saifuddin Abdullah, menteri komunikasi dan multimedia baru, akan teliti undang-undang berita palsu yang pemansuhannya diluluskan Dewan Negara pada Disember tahun lepas.

Bercakap pada sidang media pertama bawah kerajaan Perikatan Nasional, beliau berkata kebebasan media akan dikekalkan tetapi “kita tidak boleh berkompromi dengan berita palsu”.

Beliau akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu sebelum keputusan dibuat.

“Saya faham ada undang-undang anti berita palsu dan pembatalannya. Tidak adil untuk saya buat sebarang pengumuman khusus tentang bagaimana kita akan menguruskannya kerana ia melibatkan menteri-menteri lain,” katanya.

Beliau akan mempertahankan prinsip mengekalkan kebebasan media tanpa menjejaskan undang-undang berita palsu.

“Perlu faham isu utama bukan anti berita palsu tetapi kebebasan. Setuju?” katanya.

Ditanya mengenai akta kebebasan maklumat yang merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan, Saifuddin berkata ia masih dalam agenda.

“Saya masih Saifuddin yang sama yang menegakkan kebebasan, demokrasi, hak asasi manusia, dan kedaulatan undang-undang,” tambahnya.

Menteri undang-undang sebelum ini, Liew Vui Keong berkata akta itu perlu kajian mendalam bagi memastikan ia tidak melanggar mana-mana undang-undang sedia.

Saifuddin menambah beliau mahu menubuhkan satu majlis perundingan yang terdiri daripada pakar-pakar undang-undang dan dasar. Beliau berkata secara umumnya, beliau mahu teruskan dasar dan program yang diletakkan pentadbiran lepas, bagi memastikan kesinambungan penyampaian.

Bagaimanapun, beberapa perubahan perlu dilakukan, katanya.