Sedihnya… Pelarian Syria tekad jual buah pinggang bagi beli khemah lindungi 8 anaknya

Kelapan-lapan anaknya mengalami masalah kesihatan – buah pinggang, sawan dan tumbesaran terbantut.

Terdesak sehingga sanggup menjual buah pinggangnya demi kelangsungan hidup keluarga termasuk 8 orang anaknya.

Itulah yang berlaku terhadap seorang bapa di Syria apabila terpaksa melakukan tindakan itu selepas buntu dalam mendapatkan khemah di kem pelarian utara negara itu.

Memetik laporan media tempatan Zaman Al Wasl, Jamal Baroud mengiklankan diri di tepi jalan sambil memegang kad menyatakan “dia mahu jual buah pinggangnya.”

Keluarga Jamal dikatakan kehilangan tempat tinggal selama hampir sebulan ekoran perang saudara yang tiada kesudahan di negara itu.

Lebih memilukan, 8 anaknya itu turut mempunyai masalah kesihatan termasuk masalah buah pinggang, sawan dan tumbesaran terbantut.

Sebelum ini dikatakan Jamal bekerja sebagai tukang jahit namun akibat kedaifannya, dia tidak mampu mendapatkan rawatan bagi anak-anaknya.

Bagaimanapun, Jamal ditahan kononnya kerana dia terbabit dalam menyokong kepada revolusi.

Dia dilaporkan diseksa sehingga leher patah sekaligus membuatkannya tidak mampu untuk bekerja.

“Pernah terfikir untuk membunuh diri dengan anaknya kerana tak sanggup melihat mereka mati kelaparan dan kesejukan,” katanya.

Anak-anaknya kini terpaksa jadi gelandangan akibat kesempitan hidup.

Katanya sudah lebih 2 tahun anaknya tidak bersekolah dan menjadi gelandangan.

Rayuan kepada pelbagai organisasi juga telah dilakukan namun ianya sia-sia, tiada sebarang bantuan yang diterima sehingga kini.

Perang saudara di Syria sejak 2011 telah mengorbankan kira-kira 367,000 dengan 192,000 masih hilang dan hampir separuh rakyat negara itu kehilangan tempat tinggal.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]