Malaysia Airlines terpaksa batal lebih 2,000 penerbangan akibat Covid-19

Malaysia Airlines Bhd menawarkan cuti tanpa gaji kepada kakitangannya.

PETALING JAYA: Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) berkata Covid-19 yang diklasifikasikan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, baru-baru ini memaksa syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines membatalkan lebih 2,000 penerbangan sehingga April kerana sekatan perjalanan oleh negara destinasi.

Dalam satu kenyataan, MAG yang mengendalikan Malaysia Airlines Bhd juga mengesahkan laporan bahawa ia meminta pekerja mengambil cuti tanpa gaji susulan wabak virus itu.

Katanya, kakitangan diberi pilihan secara sukarela untuk mengambil cuti selama 5 hari tanpa gaji dalam tempoh sebulan sekurang-kurangnya 3 bulan atau 1 hingga 3 bulan bermula April.

The Edge sebelum ini melaporkan syarikat penerbangan itu meminta pekerjanya mengambil cuti tanpa gaji secara sukarela kerana ia berusaha menangani kewangan akibat pandemik itu.

Cuti tanpa gaji secara sukarela juga ditawarkan kepada pekerja lain di MAG, termasuk di MAB Kargo, MAB Engineering, Firefly, dan MASwings.