Teruskan siasatan projek Mindef, Chin Tong beritahu kerajaan baru

Pembelian 6 helikopter tempur ringan MD530-G buatan AS adalah antara beberapa projek yang disiasat di bawah kerajaan Pakatan Harapan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya terus menyiasat projek berkaitan kementerian itu, termasuk perolehan beberapa set ketenteraan.

Beliau berkata, semasa Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya, perkara pertama dilakukan yang dilakukan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) ialah menjemput pengerusi Jawatankuasa Siasatan, Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (GPFIC) Ambrin Buang untuk menyiasat beberapa perolehan pertahanan yang dibuat di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa menyalahi peraturan.

Ini termasuklah perolehan kenderaan berperisai AV8, kapal tempur pesisir pantai dan helikopter tempur ringan buatan AS MD530G yang bukan sahaja melibatkan kos tinggi, tetapi lewat dihantar.

Beliau berkata, Mindef juga meminta GPFIC menyiasat projek tukar tanah kementerian melibatkan 16 lot tanah yang menyebabkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM500 juta.

“Sewajarnya siasatan ke atas projek ini perlu diteruskan bagi yang mana-mana yang masih dalam proses siasatan.

“Bagi projek yang telah selesai siasatan, sewajarnya syor yang dikemukakan diangkat menjadi keputusan Kabinet dalam masa terdekat,” katanya di Facebook dengan turut menggariskan perkara yang patut diberi perhatian oleh kementerian berkenaan di bawah PN.

Merujuk kepada kertas putih yang dibentangkan oleh bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu sebagai kerangka baru pertahanan negara untuk 10 tahun akan datang, beliau berkata, ia melibatkan pendekatan dwi-pihak dan diterima oleh semua ahli Parlimen pada 2 Dis tahun lepas.

“Pendekatan dwi-pihak haruslah diteruskan supaya kesinambungan pelaksanaan reformasi pertahanan yang digariskan kementerian terjamin,” katanya.

Semalam bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, tidak ada keperluan untuk membangkitkan isu kelewatan penghantaran 6 helikopter bernilai RM300 juta yang dibeli pada 2016.