Thailand catat 11 kes baru Covid-19

Sehingga kini, 70 kes Covid-19 dilaporkan di Thailand dengan 1 kematian. (Gambar AP)

BANGKOK: Thailand mengesahkan 11 kes baru Covid-19, iaitu jumlah tertinggi yang dicatatkan di negara berkenaan sejak kes pertama direkodkan di luar China, menjadikan keseluruhannya sebanyak 70 kes.

Kes baru itu membabitkan warga tempatan terdiri daripada 5 lelaki dan 6 wanita berusia antara 25 dan 38 tahun yang berkongsi minuman dan rokok dalam 2 pertemuan.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Sukhum Kanchanapimai berkata seorang pelancong dari Hong Kong (tidak dinyatakan sama ada lelaki atau wanita) yang menjadi pembawa baru Covid-19.

Katanya, pelancong, yang bersendirian itu tiba di Bangkok pada 21 Feb, mengalami demam dan batuk 4 hari kemudian.

“Pelancong itu berjumpa dengan sekumpulan rakan 15 orang semuanya di 2 pertemuan iaitu pada 27 dan 29 Feb sebelum pulang.

“Pada 4 Mac, sekumpulan rakan itu jatuh sakit dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Bangkok. 11 daripadanya didapati positif Covid-19 manakala 4 lagi disahkan negatif,” katanya pada taklimat harian Covid-19, hari ini.

Sukhum berkata ahli keluarga dan rakan terdekat kumpulan kes baru itu menjalani ujian saringan dan didapati negatif Covid-19.

“Tidak ada penyebar super di Thailand… virus itu tersebar dalam kumpulan yang berkongsi minuman dan rokok,” katanya.

Sehingga kini, 70 kes Covid-19 dilaporkan di Thailand dengan 1 kematian.

Sebanyak 35 daripada mereka pulih sepenuhnya dan keluar hospital, manakala 34 lagi pesakit masih menerima rawatan.