Tom Hanks, isteri sah positif Covid-19

Tom Hanks dan isteri Rita Wilson disahkan positif Covid-19 di Australia. (Gambar Twitter)

LOS ANGELES: Pelakon pemenang Oscar Tom Hanks dan isteri Rita Wilson disahkan positif Covid-19 di Australia, kata pelakon terkenal itu di Twitter.

Hanks berada di Australia untuk pembikinan sebuah filem apabila beliau dan Rita disahkan positif penyakit penafasan itu.

“Bagi mematuhi peraturan seperti diperlukan oleh dunia sekarang, kami diuji untuk koronavirus dan didapati positif,” katanya di Twitter.

Katanya beliau dan Wilson akan “menjalani ujian, dipantau dan diasingkan seperti diperlukan oleh kesihatan dan keselamatan awam.”