Umno sokong Muhyiddin demi selamatkan negara, rakyat

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

PETALING JAYA: Umno berkata keputusan parti itu menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri tempoh hari disebabkan tanggungjawab moral untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada terus dibelenggu dengan krisis politik.

Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno akan berikan sokongan kepada kerajaan baru pimpinan Muhyiddin sehingga pilihan raya umum ke-14 berdasarkan beberapa panduan.

“Kerajaan ini harus memastikan aspirasi rakyat benar-benar direalisasikan, melaksanakan tanggungjawab dengan memberikan kemakmuran kepada semua rakyat.

“Kerajaan baru harus segera berusaha menangani kelembapan ekonomi semasa termasuklah melaksanakan pelan tindakan berkesan hadapi cabaran ekonomi global dan kesan wabak Covid-19 serta tidak sewajarnya mengulangi kesilapan dilakukan kerajaan Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Zahid berkata, bagi memelihara kepentingan agama dan negara, tindakan segera harus diambil termasuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala tuduhan dan penyelewengan PH terhadap Barisan Nasional dan pengurusan Tabung Haji terdahulu.

“Umno turut mendesak kes-kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraannya oleh kerajaan PH dibuka semula, ini termasuklah skandal rasuah terowong dasar laut dan 3 lebuh raya melibatkan pemimpin DAP bernilai RM6.3 bilion.

“Segerakan siasatan dan pendakwaan terhadap mereka dikaitkan dengan kes pembunuhan yang menyayat hati melibatkan anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim. Batalkan juga agenda kerajaan PH untuk menubuhkan IPCMC,” katanya.

Malah beliau menyarankan pembekuan keputusan pemberhentian kakitangan awam berstatus kontrak, dasar pengurangan kakitangan awam dan mengkaji semula dasar yang memastikan kebajikan penjawat awam terbela.

Katanya, Umno akan terus memainkan peranan sebagai agen semak dan imbang terhadap kerajaan baru bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat benar-benar terbela.