3 kes Covid-19 di Sarawak berkait ijtimak tabligh KL

Dua daripada 3 pesakit Covid-19 di Sarawak pernah menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lepas. (Gambar Facebook)

KUCHING: Sarawak mengesahkan kes pertama Covid-19 hari ini selepas 3 individu dari Kuching disahkan positif virus itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Douglas Uggah Embas berkata, 2 pesakit itu menyertai ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lepas, manakala pesakit ke-3 ialah seorang ahli keluarga salah seorang pesakit terbabit.

Setakat ini, 173 daripada 236 peserta ijtimak tabligh di Kuala Lumpur itu sedang menjalani kuarantin di rumah, manakala 63 lagi diklasifikasikan pesakit dalam siasatan.

“Kami akan terus mengesan baki individu terbabit dan kami merayu semua yang menghadiri ijtimak itu segera menghubungi hospital berdekatan untuk siasatan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Uggah berkata, Jabatan Kesihatan Sarawak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat Covid-19 di hospital khusus – Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Bintulu dan Hospital Miri.

“Pusat kuarantin turut ditubuhkan di Kuching, Sibu, Bintulu serta Miri, dan bersedia untuk operasi.”

Jawatankuasa itu dalam satu kenyataan turut mengumumkan semua perhimpunan kerajaan dan awam membabitkan lebih 250 peserta ditangguhkan.

“Semua perjalanan tidak perlu ke Brunei Darussalam, Sabah dan Semenanjung perlu ditangguh atau ditunda.

“Pengunjung dari Brunei Darussalam, Sabah dan Semenanjung turut dinasihatkan menangguh atau menunda perjalanan ke Sarawak.”