Ahli lembaga SC, Suruhanjaya Persaingan positif Covid-19

SC dan MyCC berkata, 2 individu itu sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh dan dalam keadaan sihat.

PETALING JAYA: Seorang ahli lembaga bebas Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan seorang ahli Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) disahkan positif Covid-19 semalam, lapor Bernama.

Dua suruhanjaya itu dalam kenyataan berasingan semalam berkata, individu berkenaan sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh dan dalam keadaan stabil.

“SC bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kesihatan untuk melaksanakan semua langkah yang perlu bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja, termasuk mengenal pasti mereka yang merupakan kontak rapat individu terbabit,” kata SC dalam kenyataan itu.

Pejabat SC akan ditutup dan semua pekerja mula bekerja dari rumah hari ini bagi membolehkan premis itu dibersihkan sebelum dibuka semula pada 16 Mac ini.

Katanya, SC mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi pekerja dan meminimumkan penyebaran virus itu.

“Ia termasuk operasi secara berpasukan untuk mengurangkan bilangan pekerja di satu-satu lokasi, saringan kesihatan kepada pengunjung, kuarantin pekerja yang merupakan kontak rapat kes positif Covid-19 dan meningkatkan sanitasi harian di pejabat.”

Sementara itu, MyCC berkata, ia tidak dapat mengesahkan sama ada jangkitan itu berlaku seawal 29 Feb lalu dan individu yang dijangkiti jarang ke pejabat MyCC sejak tarikh berkenaan.

“MyCC sudah mengambil langkah sewajarnya untuk mengenal pasti individu termasuk ahli lain, pekerja dan mereka yang merupakan kontak rapat kepada ahli yang dijangkiti dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dalam hal itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Suruhanjaya itu menasihatkan orang ramai yang pernah melawat dan berinteraksi dengan ahli terbabit dari 29 Feb lalu pergi ke klinik atau hospital sekiranya mereka mempunyai simptom penyakit itu.

“Nasihat ini juga ditujukan kepada peserta, penceramah, moderator dan sekretariat Bengkel Isu-isu Terkini Persaingan di Malaysia yang berlangsung di Hotel Corus pada 4 Mac lalu.”

MyCC berkata, semua aktiviti yang dirancang ditangguhkan sehingga diberitahu kelak dan semua pekerja akan bekerja dari rumah kerana pejabatnya di tingkat 15 Menara SSM ditutup sehingga hari ini.

Katanya, MyCC sedang bekerjasama rapat dengan pengurusan bangunan untuk melakukan disinfeksi menyeluruh pejabatnya pada 15 Mac ini.

Orang ramai boleh menghubungi MyCC menerusi [email protected] atau menghantar aduan ke www.mycc.gov.my/e-complaint.