Blok Umno diketepi secara tidak adil dalam Kabinet Muhyiddin, kata Tok Mat

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mendakwa ahli Parlimen parti itu sebagai blok terbesar yang membentuk kerajaan baru diketepikan secara tidak adil dalam Kabinet Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ahli Parlimen Umno diberi portfolio kementerian tidak kritikal berbanding ahli Parlimen blok perdana menteri itu.

“Keadaan ini sama sekali tidak setimpal dengan jumlah ahli Parlimen yang disumbangkan oleh Umno dan tahap pengalaman yang dimiliki oleh mereka.

“Kedua, keanggotaan Kabinet secara jelas memberikan manfaat yang sangat besar kepada blok PPBM dan Azmin Ali,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan 26 kementerian termasuk 4 menteri kanan yang akan membantunya menyelaras hal ehwal Kabinet, menggantikan peranan timbalan perdana menteri.

Barisan menteri kali ini menyaksikan seramai 9 ahli Umno, MCA dan MIC 1, PPBM 7, PAS 3, Gabungan Parti Sarawak 4, Parti Bersatu Sabah 1, dan 3 bekas pemimpin PKR yang menyertai PPBM baru-baru ini.

Dari Umno adalah Ismail Sabri Yaakob sebagai menteri Pertahanan, Annuar Musa (Wilayah Persekutuan), Noraini Ahmad (Pengajian Tinggi), Shamsul Anuar Nasarah (Tenaga dan Sumber Asli) dan Adham Baba (Kesihatan).

Manakala Hishammuddin Hussein sebagai menteri Luar Negeri, Khairy Jamaluddin (Sains, Teknologi dan Inovasi), Halimah Mohamed Sadique (Perpaduan Negara), dan Reezal Merican Naina Merican (Belia dan Sukan).

Mengulas lanjut, Mohamad berkata adalah mustahak Muhyiddin menyantuni saiz perwakilan parti dalam kerajaan berdasarkan 2 dasar.

“Pertama, kerana ini adalah sistem Westminster. Kabinet mengamalkan tanggungjawab kolektif, yang hanya akan berkesan jika setiap parti diwakili dengan jumlah yang sewajarnya.

“Kedua, selama ini kita sememangnya mengamalkan perwakilan yang setara dengan saiz yang diwakili dan ia merupakan sistem yang berjaya,” katanya.

Beliau menambah, Pakatan Harapan juga mengamalkan pendekatan yang sama semasa menjadi kerajaan.