Buka semula pusat keamanan Saudi bukan keutamaan kerajaan, kata Hishammuddin

Menteri luar yang baru dilantik Hishammuddin Hussein berkata, keputusan mengenai Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman akan dibuat berdasarkan kepentingan negara.

PUTRAJAYA: Kerajaan belum berhasrat untuk membuka semula Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang ditutup oleh pentadbiran lepas sebelum ini.

Menteri Luar, Hishammuddin Hussein berkata apa-apa keputusan yang akan dibuat berhubung pusat itu adalah bersandarkan kepentingan negara.

“Tetapi keutamaan masa ini bukan mengenai keganasan, tetapi virus (Covid-19) yang kita tidak dapat lihat,” katanya pada sidang media di Wisma Putra hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin, yang baru dilantik sebagai menteri luar susulan perubahan kerajaan berkata, pusat berkenaan melibatkan isu keselamatan negara dan keputusan mengenainya akan dibincangkan di peringkat lebih tinggi.

“Saya harap kalau hubungan kita dah balik pada landasan yang betul, ia akan dibincangkan di peringkat lebih tinggi, iaitu di peringkat perdana menteri sendiri.

“Saya percaya apa juga keputusan yang dibuat, ia mesti bersandarkan pada kepentingan negara kita sendiri.

“Kalau ia baik, ia akan dibincangkan,” katanya.

Pusat itu, yang dicadangkan penubuhannya selepas lawatan Raja Saudi, Salman Abdul Aziz ke Malaysia pada 2017, dibatalkan pada Ogos 2018, 3 bulan selepas Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

Pengkritik mempersoalkan langkah bersama Riyadh dalam memerangi terorisme, dengan mendakwa Arab Saudi tidak layak mengetuai pusat itu memandangkan kempen pengebomannya di Yaman, serta doktrin rasminya, Wahhabisme yang dikaitkan dengan ideologi IS.

Kerajaan terdahulu Barisan Nasional bersetuju menyediakan tanah di Putrajaya untuk pusat itu.