Bulgaria akan isytihar darurat akibat Covid-19

Boyko Borissov berkata, pengisytiharan darurat akan membolehkan polis campur tangan dalam kes pesakit Covid-19 enggan menjalani kuarantin. (Gambar AP)

SOFIA: Bulgaria bercadang mengisytiharkan darurat bagi menghalang penularan koronavirus, kata Perdana Menteri Boyko Borissov pada Khamis ketika jumlah kes positif di negara itu melonjak kepada 23 orang.

Negara Balkan itu mengesahkan kematian pertama akibat virus itu Rabu lalu dan jumlah kes positif melonjak daripada 7 kepada 23 kes pada Khamis.

“Kerajaan akan meminta Parlimen mengisytiharkan darurat yang akan membolehkan penutupan sekolah, tadika dan universiti,” kata Borissov selepas mengadakan mesyuarat tergempar.

Cadangan itu akan dikemukakan di Parlimen pada Jumaat.

Borissov menyeru rakyatnya mematuhi peraturan kerana 14 individu yang sepatutnya dikuarantinkan pada Khamis tidak berbuat demikian.

Katanya, pengisytiharan darurat akan membolehkan polis campur tangan dalam kes sedemikian.

“Hanya disiplin dan mobilisasi negara boleh membantu kita dalam keadaan ini.”

Menjelang hujung minggu ini, Bulgari akan mengeluarkan sekatan perjalanan ke negara terjejas teruk akibat Covid-19 dan senarai warga asing yang dilarang ke negara itu.

Borissov berkata, impak global virus itu sudah membebankan kewangan awam dan jika trend kemerosotan pendapatan awam berterusan pada kadar sedia ada, kerugian kepada bajet mungkin mencecah 3 bilion lev.

Bulgaria sudah mengehadkan acara dalam bangunan sehingga 250 orang bagi menghalang penularan Covid-19 dan sektor perniagaan pula digesa melaksanakan waktu kerja fleksibel serta membenarkan pekerja bekerja dari rumah.

Katanya, walaupun restoran dibenarkan beroperasi, pengusaha perlu mengkaji cara melaksanakan jarak sosial untuk memastikan orang ramai mengekalkan jarak masing-masing dan kelab malam pula perlu ditutup.