Faizal Azumu dilantik semula jadi MB Perak

Ahmad Faizal Azumu akan menubuhkan kerajaan negeri baru dengan sokongan Umno, PAS dan PPBM.

PETALING JAYA: Istana Perak mengumumkan Ketua PPBM negeri, Ahmad Faizal Azumu dilantik semula sebagai menteri besar.

Istana Perak dalam kenyataan hari ini berkata, Sultan Nazrin Shah menganggap Faizal mendapat sokongan majoriti Adun Perak.

Faizal akan mengangkat sumpah pada 3.30 petang ini di Istana Iskandariah.

Sultan Perak sebelum ini menerima peletakan jawatan Faizal sebagai menteri besar Perak ke-12 pada 10 Mac lalu yang turut menyebabkan pelucutan jawatan semua exco negeri itu.

Ini menyusul pengumuman Faizal yang Perikatan Nasional terdiri daripada Umno, PAS dan PPBM mendapat sokongan 32 Adun untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Situasi di Perak ini menyusul selepas PPBM meninggalkan PH yang menyebabkan kerajaan persekutuan tumbang dan pergolakan politik bermula.

Selasa lalu, PH Perak menuntut Faizal memohon maaf kepada
rakyat kerana mengkhianati mandat diberikan kepadanya susulan peletakan jawatannya sebagai menteri besar.