Jais arah program tabligh di surau, masjid Selangor ditangguh segera

Ribuan jemaah tabligh menghadiri sebuah program pada 28 Feb hingga 1 Mac lalu dengan seorang daripada mereka dilaporkan positif Covid-19 kelmarin.

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan program tabligh di semua masjid dan surau di negeri itu ditangguhkan serta-merta susulan kebimbangan puluhan ribu jemaah menghadiri satu perhimpunan baru-baru ini berdepan risiko dijangkiti virus Covid-19.

Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad berkata penangguhan sementara sehingga keadaan reda itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan disebabkan pertambahan kes Covid-19 dalam negara.

Tetapi, katanya, penganjuran program membabitkan orang ramai seperti ceramah, kuliah dan majlis pernikahan boleh diteruskan dengan melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan bagi menghalang penularan virus itu.

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa mengamalkan kebersihan diri, termasuk kerap mencuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman.

“Jarakkan diri sekurang-kurangnya 1m dari individu yang mempunyai gejala demam, batuk dan bersin, selain memakai topeng muka bagi yang tidak sihat.

“Pastikan premis sentiasa bersih dan bebas kuman, kerap mengelap permukaan dan alatan dengan bahan pembasmi kuman,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun yang pernah menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling pada 28 Feb hingga 1 Mac lalu disahkan positif virus itu.

Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, Masjid Sri Petaling yang mengadakan perjumpaan untuk 10,000 jemaah tabligh akhir bulan lalu, akan ditutup untuk kerja pembersihan selepas seorang pesertanya dijangkiti Covid-19.

Beliau menggesa peserta perjumpaan itu segera melakukan pemeriksaan kesihatan jika mereka mula mengalami simptom virus itu.