KDNK turun sehingga 1.2% akibat Covid-19, kata PM

Kesan Covid-19 menyebabkan KDNK negara menurun.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negera menurun sebanyak 0.8 hingga 1.2% akibat penularan Covid-19.

Beliau berkata penurunan itu melibatkan sebanyak RM10.8 hingga RM17.3 bilion.

“Saya sedar langkah-langkah segera perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesan wabak ini kepada ekonomi negara, khususnya kepada rakyat.

“Untuk itu, kerajaan akan memastikan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan akan dipantau pelaksanaannya supaya kesannya akan dapat dirasai oleh anda semua
dengan segera,” katanya dalam perutusan perdana menteri, malam ini.

Muhyiddin menegaskan beliau memahami terdapat segelintir pihak yang terkesan dari aspek ekonomi akibat penularan wabak itu sejak beberapa bulan lalu terutamanya mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan, perusahaan kecil dan industri pengangkutan.

Katanya, beliau sentiasa dimaklumkan mengenai maklumat terkini Covid-19 secara harian oleh jawatankuasa khas yang dipimpin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan langkah-langkah terkini diambil untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku.

“Saya juga telah diberi jaminan bahawa bekalan barang-barang keperluan adalah mencukupi,” katanya.