Kementerian Pelancongan Sarawak tangguh semua acara

Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia dan Lumba Spartan 2020 antara acara yang ditangguhkan. (Gambar Facebook)

KUCHING: Semua acara pelancongan, perniagaan, belia dan sukan yang dianjur atau ditaja Kementerian Pelancongan, Seni, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan, kata menterinya.

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) dan Lumba Spartan 2020, yang dijangka diadakan pada Julai dan April, adalah antara yang ditangguhkan.

Katanya, turut terjejas ialah kira-kira 30 acara perniagaan, susulan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri mengarahkan semua perhimpunan yang melibatkan lebih 250 peserta ditangguhkan ke suatu tarikh baru.

“Keputusan yang sukar terpaksa dibuat memandangkan kesihatan awam adalah keutamaan kita semasa pandemik global ini kerana terdapat 3 kes yang disahkan di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, hari ini.

Karim berkata beliau berharap keadaan akan bertambah baik dalam masa beberapa bulan lagi.

Beliau berkata kementeriannya akan mengkaji semula situasi dari masa ke semasa dan memastikan penganjur dan orang ramai dimaklumkan mengenai perkembangannya.

Dalam perkembangan lain, beliau menggesa mereka yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Setakat ini, Sarawak mengesan 236 individu yang menghadiri perhimpunan itu, 173 daripadanya menjalani kuarantin di rumah. Seramai 63 orang lagi dikelaskan sebagai orang yang sedang diperiksa.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata ia akan terus menjejaki lain-lain peserta.