Kurus cantik? Adele tampil berbeza sebab amal ‘diet sirtfood’

Diet sirtfood yang diamalkan Adele sehingga membuatkan dia turun berat badan sebanyak 22kg. (Gambar dari Email)

Jika anda sentiasa mengikuti perkembangan semasa Adele, anda pasti tidak terkejut jika melihat penampilan terkininya yang agak berbeza.

Penyanyi yang berumur 31 tahun ini sudah mula memperlihatkan penurunan berat badan yang dramatik sejak dia mula terlibat dengan “diet sirtfood”.

Adele sehingga kini turun berat badan hampir 22kg sejak dia menggunakan perkhidmatan jurulatih peribadi dan juga mengamalkan diet sirtfood.

Selain daripada Adele, terdapat juga beberapa selebriti lain yang turut mengamalkan diet sirtfood ini seperti peninju Conor Mcgregor dan juga David Haye.

Pelan diet ini mula menjadi kegemaran golongan selebriti di Eropah kerana ia membenarkan pengamalnya untuk mengambil coklat dan juga wain merah.

Apakah sebenarnya diet sirtfood yang mula menjadi trend golongan selebriti ini?

Apakah diet sirtfood?

Diet sirtfood ini telah diperkenalkan di United Kingdom oleh 2 orang Pakar Pemakanan, Aidan Goggins dan juga Glen Matten yang bekerja di sebuah gimnasium.

Kedua-dua pakar pemakanan ini telah menerbitkan buku panduan dan juga buku resipi pada tahun 2016 berkenaan dengan diet sirtfood yang mereka asaskan.

Diet ini dibangunkan berdasarkan kajian terhadap sirtuin (SIRTs), iaitu kumpulan 7 jenis protein yang berada dalam tubuh, yang mengawal selia pelbagai fungsi, termasuklah metabolisma, keradangan dan jangka hayat seseorang individu.

Sesetengah sebatian tumbuhan semula jadi mungkin berfungsi meningkatkan jumlah protein ini dalam tubuh.

Oleh itu, jenis-jenis tumbuhan atau makanan yang mengandungi sebatian ini disebut sebagai “sirtfood”.

Berikut merupakan 20 jenis sirtfood paling teratas yang dinyatakan oleh Sirtfood Diet:

  1. Kale
  2. Wain merah
  3. Strawberi
  4. Bawang
  5. Kacang soya
  6. Parsli
  7. Minyak zaitun dara
  8. Coklat gelap (85% kandungan koko)
  9. Teh hijau matcha
  10. Buckwheat
  11. Kunyit
  12. Kacang walnut
  13. Daun arugula
  14. Cili api
  15. Lovage
  16. Kurma Medjool
  17. Cikori merah (red chicory)
  18. Bluberi
  19. Capers
  20. Kopi

Diet ini menggabungkan pemakanan sirtfood dan juga sekatan atau limitasi kalori.

Kedua-duanya mungkin merangsang tubuh badan untuk menghasilkan lebih banyak sirtuins.

Individu yang memperkenalkan jenis diet ini menyatakan, pelan pemakanan ini boleh membantu menurunkan berat badan dengan cepat, mengekalkan jisim otot selain melindungi pengamalnya daripada penyakit kronik.

Adakah diet sirtfood ini benar-benar berkesan?

Walaupun pengasas diet ini menyatakan dakwaan keberkesanannya seperti yang di atas, sebenarnya tidak terdapat banyak bukti yang boleh menyokong tuntutan mereka tersebut.

Tidak terdapat bukti meyakinkan yang menyatakan bahawa diet sirtfood mempunyai kesan yang lebih baik ke atas penurunan berat badan berbanding jenis diet yang lain.

Walaupun berat badan merupakan penentu kepada kesihatan seseorang, tetapi ia bukanlah satu-satunya kayu ukur yang digunakan.

Diet sirtfood hanya mengira berat badan sebagai satu kayu ukur kesihatan seseorang.

Untuk kesihatan keseluruhan seseorang individu, penampilan fizikal bukanlah hanya satu cara untuk menentukan kesihatan seseorang.

Oleh itu, pendekatan yang digunakan oleh diet sirtfood ini adalah tidak lengkap.

Selain itu, diet sirtfood juga menekankan pengambilan hanya 1,000 ke 1,500 kalori setiap hari.

Jumlah ini adalah agak rendah jika dibandingkan dengan keperluan kalori harian seseorang individu.

Apabila kita mengehadkan pengambilan kalori dengan melampau, reaksi badan yang selanjutnya akan menyebabkan kita ingin makan secara berlebihan (overeat).

Kesan sampingan diet sirtfood

Bagi individu dewasa yang sihat, pengamalan diet ini dalam tempoh yang pendek tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan yang serius.

Mereka mungkin hanya akan berasa lapar disebabkan pengambilan kalori yang tidak mencukupi dengan keperluan tubuh.

Selain itu, pada peringkat awal,mereka yang mengamalkan diet ini juga mungkin akan berasa cepat letih, pening kepala, dan rasa badan yang kurang selesa.

Bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai diabetes, limitasi kalori dan meminum jus pada beberapa hari pertama mungkin boleh menyebabkan perubahan yang berbahaya pada tahap gula darah mereka.

Cantik tidak semestinya perlu kurus

Obsesi untuk cantik menjadikan seseorang individu itu mencuba pelbagai cara untuk menurunkan berat badan dan menjadi kurus. Adakah kurus melambangkan kecantikan?

Tidak dinafikan bahawa individu yang kurus sememangnya cantik dan kacak. Tetapi ia tidak bermakna bahawa seseorang yang berisi pula tidak cantik atau tidak menarik.

Cantik itu bersifat subjektif, dan kurus tidak semestinya bermakna anda seorang yang sihat.

Ada individu yang terlalu obses untuk menjadi kurus sehingga mengabaikan keperluan kalori harian tubuh.

Kesannya, badan tidak mendapat nutrisi yang mencukupi dan akhirnya mempunyai satu kondisi yang disebut sebagai “anorexia nervosa”.

Anorexia bukan sahaja membahayakan aspek fizikal, malah ia juga boleh menjejaskan kesihatan psikososial seseorang individu.

Oleh itu, makanlah mengikut keperluan dan jangan sesekali berlapar hanya untuk kelihatan kurus. Kurus juga tidak bermakna anda benar-benar sihat.

Jenis makanan sihat, tetapi bukan corak pemakanan

Secara umumnya, jenis makanan yang terkandung dalam diet sirtfood ini sememangnya adalah jenis-jenis makanan yang sihat.

Bagaimanapun, corak pemakanan yang diamalkan dan disarankan adalah tidak sihat.

Anda tidak perlu mengehadkan pengambilan kalori sehingga 1,000 kalori dalam sehari.

Ia mungkin membantu menurunkan berat badan anda, tetapi ia juga memberi kesan kepada kesihatan terutamanya bagi mereka yang mempunyai komplikasi kesihatan seperti diabetes.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]