Muhyiddin umum hospital tambahan untuk tangani Covid-19

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. (Gambar RTM1 )

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kerajaan akan meningkatkan bilangan hospital yang boleh merawat kes Covid-19.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak 26 hospital kerajaan dan sebuah hospital universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kes Covid-19.

“Terdapat 57 hospital kerajaan dan 170 klinik kesihatan di seluruh negara yang bersedia untuk melaksanakan saringan kesihatan ke atas mereka yang bergejala penyakit Covid-19.

“Kerajaan juga mengenalpasti Hospital Sungai Buloh dan sebuah hospital di setiap negeri sebagai hospital khusus untuk merawat kes-kes Covid-19, ” katanya dalam perutusan perdana menteri, malam ini.

Perdana menteri berkata kolaborasi dengan hospital swasta, hospital di bawah kementerian pertahanan dan hospital universiti sudah dimulakan sebagai persediaan sekiranya berlaku pertambahan pesakit berkait wabak itu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan amat prihatin dengan nasib rakyat Malaysia di luar negara yang terjejas dengan penularan Covid-19 seperti di China, Iran, Itali dan Korea.

Katannya, sehingga kini, kerajaan membawa pulang seramai 107 orang rakyat Malaysia dari sebahagian negara-negara tersebut.

Beliau berkata, seramai 65 rakyat Malaysia yang berada di Iran dan 323 orang yang berada di Itali sedang dalam proses untuk dibawa pulang.

Beliau juga menyeru rakyat untuk memgambil langkah-langkah yang boleh menghindarkan diri dan keluarga daripada jangkitan itu.

“Yang paling utama ialah amalkan penjagaan kesihatan yang tinggi. Sentiasa bersihkan diri. Gunakan topeng muka dan hand sanitizer,” katanya.