Nepal gantung pendakian ke Gunung Everest akibat Covid-19

Para pendaki beratur ketika mendaki Gunung Everest. (Gambar AP)

KATHMANDU: Nepal menutup semua puncak Himalaya termasuk Gunung Everest pada musim pendakian kali ini akibat kebimbangan wabak Covid-19, kata seorang menteri pada Jumaat.

Nepal, yang menempatkan 8 daripada 14 gunung tertinggi di dunia termasuk Gunung Everest, memperoleh pendapatan lebih A$4 juta bagi yuran permit mendaki puncak tertinggi di dunia itu dan gunung-gunung lain setiap tahun.

Menteri Pelancongan Yogesh Bhattarai berkata ekspedisi ke semua puncak pada musim bunga pada Mac-Mei telah digantung.

“Pendakian musim ini ditutup,” kata Bhattarai kepada Reuters.

“Ini adalah langkah berjaga-jaga untuk itu,” katanya, ketika ditanya adakah langkah itu disebabkan Covid-19.

Nepal mengesahkan hanya 1 kes Covid-19 – seorang pelajar yang belajar di China yang dalam perjalanan pulang ke negara itu – daripada 450 orang yang diuji.

Penggantungan ekspedisi di Nepal akan menjejaskan ratusan pendaki warga asing yang kini bersiap sedia untuk pendakian pada musim bunga.

Everest, gunung tertinggi di dunia pada ketinggian 8,850m, terletak di sempadan Nepal dan wilayah Tibet China. China mengumumkan penutupan gunungnya pada Khamis.

Ini adalah kali ke-2 dalam beberapa tahun kebelakangan ini di mana musim mendaki terganggu. Ekspedisi digantung pada 2015 selepas gempa bumi besar melanda Nepal pada 25 April tahun itu, membunuh kira-kira 9,000 orang.

Lapan belas orang terbunuh di “base camp” Everest apabila runtuhan yang dicetuskan oleh gempa itu menenggelami cerun.

“Ini adalah berita yang mengecewakan bagi kedua-dua pemimpin ekspedisi kami dan pelanggan kami yang dilatih selama berbulan-bulan untuk mendaki tahun ini,” kata Lukas Furtenbach, pengarah Furtenbach Adventure, yang berpangkalan di California.

Nepal juga akan berhenti pengeluaran visa bagi ketibaan sehingga 30 April, kata seorang pegawai.