Ongkili mahu selesai isu MA63 dalam 6 bulan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili berkata, beliau juga akan memberi tumpuan kepada isu pendatang tanpa izin di Sabah, termasuk soal dokumentasi warga asing.

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Maximus Johnity Ongkili, berharap isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diselesaikan dalam tempoh 6 bulan.

Beliau berkata, mesyuarat Kabinet pertama semalam turut membincangkan tentang MA63 dan berharap kerajaan baru pimpinan Perikatan Nasional dapat menangani isu tersebut tidak lama lagi.

“Kerajaan terdahulu cuba meminda Perkara 1(2) perlembagaan persekutuan, tetapi gagal dan saya harap isu MA63 dapat diselesaikan dalam tempoh 6 bulan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini sejurus tiba dari Kuala Lumpur hari ini.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, kegagalan kerajaan terdahulu adalah disebabkan tiada butiran terperinci mengenai terma dimasukkan dalam MA63 dan membiarkan ia kepada tafsiran.

Ongkili, yang juga presiden Parti Bersatu Sabah berkata, selain isu MA63, beliau juga akan memberi tumpuan kepada isu pendatang tanpa izin di Sabah, termasuk soal dokumentasi warga asing di negeri itu.

Katanya, beliau turut memaklumkan kepada menteri dalam negeri yang baru, Hamzah Zainuddin bahawa isu pendatang tanpa izin perlu diselesaikan menerusi perbincangan secara telus dan terbuka.

“Saya bersemangat dan yakin kita boleh mencapai sesuatu yang boleh kita banggakan untuk Sabah dan Sarawak dengan penyelesaian masalah serta menyelaras semua projek pembangunan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk kedua-dua negeri ini,” katanya.

Ongkili berkata, tumpuannya yang lain adalah aspek peruntukan kewangan di mana 40% hasil daripada Sabah atau Sarawak dikutip oleh kerajaan persekutuan harus dikembalikan ke negeri tersebut.

“Saya berharap apabila semua masalah dan halangan ini diatasi, Malaysia akan muncul lebih kuat,” katanya.