Pemimpin Korea Utara bimbing perbarisan tentera di sebalik kebimbangan Covid-19

Kim Jong Un (depan) menyaksikan perbarisan tentera ketika dunia dilanda wabak Covid-19. (Gambar AP)

SEOUL: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un tampil kali ke-2 di khalayak minggu ini untuk mengawasi perbarisan tentera, walaupun terdapat kebimbangan mengenai penyebaran Covid-19.

Kim membimbing perbarisan pada Khamis, termasuk pertandingan menembak oleh unit artileri untuk menilai kesediaan pertempuran mereka, kata agensi berita rasmi KCNA pada Jumaat.

Korea Utara, yang terletak antara China dan Korea Selatan itu tidak mengesahkan sebarang kes Covid-19 namun meningkatkan pemeriksaan sempadan dan mengenakan langkah kuarantin.

Gambar-gambar yang diterbitkan KCNA menunjukkan Kim menyaksikan perbarisan artileri tanpa sebarang alat perlindungan, tidak seperti semua pembantu yang mengiringinya yang memakai topeng muka hitam.

Kim juga mengelak memakai apa-apa jenis perlindungan ketika beliau menyaksikan ujian peluru berpandu minggu lalu dan pada Isnin. Ujian itu adalah yang pertama oleh Korea Utara dalam tempoh 3 bulan.

Pada Isnin, Korea Utara menghantar puluhan diplomat dari negara itu ke Rusia, termasuk kakitangan dari Jerman, Perancis dan Switzerland yang menutup kedutaan mereka di tengah-tengah kebimbangan Covid-19.

Selain pemeriksaan sempadan, mana-mana warga asing dari negara yang dilaporkan dilanda virus itu perlu menjalani kuarantin selama 30 hari.

KCNA berkata negara itu sedang memperhebat usaha pencegahan Covid-19.