Penganut Hindu dinasihat elak perhimpunan besar di kuil

Jumlah kehadiran penganut Hindu ke kuil merudum akibat kebimbangan terhadap Covid-19.

KUALA LUMPUR: Penganut Hindu diminta mengelak daripada menyertai sebarang perhimpunan besar di kuil sebagai langkah meminimumkan risiko jangkitan Covid-19, kata Presiden Malaysia Hindu Sangam, RS Mohan Shan.

“Para penganut yang berhasrat melawat kuil, terutama bagi sambutan Temple Thiruvizha atau Maha Kumbhabhisekam (upacara penyucian), yang bakal menyaksikan perhimpunan ribuan orang, mereka dinasihatkan supaya mengelak upacara itu demi kebaikan diri.

“Mereka yang berhasrat mengambil bahagian dalam sambutan besar-besaran seumpama itu perlu mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai penutup hidung dan mulut, dan sering membasuh tangan sehingga benar-benar bersih,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Presiden Hindhudhrama Maamandram Sri Radhakrishan Alagamalai turut menggesa para penganut Hindu supaya menyekat penglibatan mereka dalam perhimpunan upacara keagamaan besar-besaran, sebagaimana yang disaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Para penganut dan jawatankuasa kuil masih boleh melaksanakan upacara sembahyang yang ringkas pada skala kecil, namun perlu mengambil langkah berwaspada sebagaimana yang dinasihatkan oleh KKM,” katanya.

Sementara itu setiausaha kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, Sethu Pathy Cumarasamy berkata kuil itu masih sedang mengkaji bagaimana ia boleh membantu menenangkan kegelisahan para penganut Hindu yang datang ke kuil, terhadap ancaman Covid-19.

“Sebagaimana kita tahu kuil Batu Caves adalah kawasan terbuka, jadi kita perlu tampilkan langkah-langkah yang boleh membantu menghalang penyakit itu daripada menjangkiti penganut dan juga pelancong yang hadir,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya ketika ini jumlah kehadiran ke kuil itu sudahpun merudum akibat kebimbangan terhadap Covid-19, apabila ia kini menerima kunjungan sekitar 100 pelawat sehari, berbanding kira-kira 5,000 sebelum ini.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham menasihatkan semua bentuk perhimpunan ditangguhkan buat sementara waktu bagi mengelak penyebaran Covid-19.

Sehingga 12 Mac, sejumlah 158 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam negara.