Peningkatan mendadak, Malaysia catat 39 kes baru Covid-19

Siasatan yang dijalankan mendapati kes terbaru Covid-19 dikesan dalam kalangan kluster perhimpunan tabligh Masjid Sri Petaling.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 di mana 39 kes direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dengan pertambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 kepada 197 kes.

“Daripada kes baru ini, sebanyak 38 kes dikesan di kalangan pesakit yang dipantau dan 1 kes dari kalangan kontak rapat.

“Sehingga kini, sebanyak 4 kes dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham berkata setakat ini, siasatan yang dijalankan mendapati kes tersebut dikesan dalam kalangan kluster perhimpunan tabligh.

“Siasatan bagi kes-kes berkenaan masih dijalankan dan orang awam akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Hari ini, Sarawak mengesahkan kes pertama Covid-19 selepas 3 individu dari Kuching disahkan positif virus itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Douglas Uggah Embas berkata, 2 pesakit itu menyertai ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lepas, manakala pesakit ke-3 ialah seorang ahli keluarga salah seorang pesakit terbabit.

Terdahulu, hampir 200 orang dari Tawau dan 132 orang dari Kelantan yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 2 Mac lalu, hadir ke beberapa fasiliti kesihatan bagi menjalani ujian saringan Covid-19.