Perbicaraan kes 1MDB Najib dijangka disambung 19 Mac

Peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah dan seorang anggota pasukannya menjalani ujian Covid-19 semalam.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 19 Mac depan untuk menyambung perbicaraan kes 1MDB membabitkan Najib Razak.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata demikian selepas peguam Noor Farhah Mustaffa, yang mewakili peguam bekas perdana menteri Muhammad Shafee Abdullah dan 7 peguam lain memberitahu mahkamah bahawa Shafee dan seorang anggota pasukannya menjalani ujian Covid-19 semalam.

“Sehingga keputusan ujian dikeluarkan lewat hari ini, mereka terpaksa dikuarantin di rumah,” katanya.

Farhah juga berkata, 6 lagi peguam yang terlibat dalam perbicaraan kes 1MDB yang sedang berjalan akan menjalani ujian hari ini.

Semalam mahkamah diberitahu bahawa Shafee dan anggota pasukannya hadir satu kenduri pada hujung minggu dengan kakak iparnya.

Iparnya itu bekerja di Sirim Bhd dan berhubung rapat dengan pekerjanya yang disahkan positif Covid-19.

Sequerah berkata, sekiranya keputusan ujian Shafee dan peguam lain didapati negatif, maka mahkamah akan menyambung pendengaran kes pada Khamis minggu depan.

“Maklumkan kepada saya keputusannya pada pagi Isnin,” katanya.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa anggota pasukan pendakwaan akan menjalani pemeriksaan sama hari ini selepas pendakwa raya ad-hoc Gopal Sri Ram menjalani pemeriksaan Covid-19 susulan berhubung dengan individu yang disyaki dijangkiti virus tersebut.

Dalam kes 1MDB, Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa membabitkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun Ambank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.