PM Kanada jalani kuarantin selepas isteri alami gejala Covid-19

Justin Trudeau memilih untuk mengasingkan diri sehingga mendapat keputusan pemeriksaan kesihatan isterinya, Sophie Gregoire-Trudeau. (Gambar AP)

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan isterinya menjalani kuarantin di rumah pada Khamis selepas Sophie Gregoire-Trudeau mengalami gejala seperti selesema.

Menurut satu kenyataan, gejala yang dialami Gregoire-Trudeau sudah reda sejak beliau pulang dari Britain, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, Trudeau “akan mengadakan taklimat, menerima panggilan telefon dan mesyuarat maya dari rumah”.

Trudeau turut membatalkan satu mesyuarat pada Khamis dan Jumaat dengan pemimpin wilayah Kanada di Ottawa, tetapi masih merancang bercakap dengan mereka serta pemimpin dunia melalui telefon berhubung langkah mengelakkan penularan Covid-19 di negara itu.

Gejala dialami Gregoire-Trudeau termasuk “demam pada lewat malam tadi” dan beliau segera mendapatkan nasihat perubatan serta menjalani pemeriksaan.

Trudeau pula tidak menunjukkan sebarang simptom dan doktor menasihatkannya “untuk meneruskan aktiviti harian sambil memantau keadaan diri”.

“Bagaimanapun, demi langkah berjaga-jaga, perdana menteri memilih mengasingkan diri dan bekerja dari rumah sehingga mendapat keputusan pemeriksaan Sophie,” kata pejabatnya.

Sejak koronavirus mula dikesan pada lewat Disember tahun lalu, sebanyak 127,070 kes dicatatkan di 115 negara dan 4,687 pesakit meninggal dunia, menurut statistik yang dikumpul AFP setakat Khamis berdasarkan sumber rasmi.

Satu kematian dan lebih 100 kes direkodkan di 6 wilayah Kanada setakat ini.

Penganjur Anugerah Muzik Juno membatalkan pertunjukan gala yang sepatutnya berlangsung di Saskatoon, Saskatchewan pada Ahad ini.

“Kami sedih terpaksa membatalkan acara muzik negara ini, tetapi dengan ketidaktentuan global ini, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Kanada perlu mendahului sebarang keputusan yang mendatangkan kesan kepada masyarakat kita,” kata penganjur dalam satu kenyataan.

Di wilayah Quebec, pemimpin Francois Legault mengumumkan satu siri langkah untuk menghalang penularan koronavirus, termasuk mereka yang pulang dari negara lain menjalani kuarantin selama 2 minggu.

Quebec turut melarang acara dalam bangunan membabitkan lebih 250 orang.