Potong gaji bos bukannya kru penerbangan, kata kesatuan sekerja

Nufam menasihatkan anak kapal mempertimbangkan tawaran syarikat penerbangan dengan berhati-hati dan tidak menandatangani sebarang dokumen sehingga mereka memahami syarat tawaran sepenuhnya.

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) menggesa syarikat penerbangan bersikap telus mengenai kerugian dan langkah penjimatan kos mereka untuk menangani impak penularan Covid-19.

Jurucakap kesatuan sekerja itu mengingatkan syarikat penerbangan tidak menggunakan jalan pintas untuk mengurangkan kos, selepas Malaysia Airlines Bhd mengesahkan pekerjanya diberitahu mereka boleh mengambil cuti tanpa gaji secara sukarela bagi sejumlah hari yang ditetapkan.

Ini selepas syarikat penerbangan itu dilaporkan mengalami kerugian akibat pembatalan kira-kira 2,000 penerbangan sehingga April ini, susulan sekatan perjalanan oleh negara tertentu disebabkan penularan Covid-19.

Tetapi, Nufam mempersoalkan kenapa gaji anak kapal yang dipotong terlebih dahulu ketika syarikat berdepan masalah kewangan.

“Perkara terakhir syarikat penerbangan patut lakukan ialah menyingkirkan pekerja mereka,” kata jurucakap itu kepada FMT.

“Tidak dapat dinafikan pelan menghentikan (pekerja) sementara mungkin diluluskan, tetapi ia perlu tertakluk kepada proses adil.”

Katanya, anak kapal sudah berdepan potongan elaun penerbangan bulanan akibat penularan Covid-19, perubahan jadual kerja dan pembatalan penerbangan.

“Syarikat penerbangan mengurangkan kos mereka dengan pengurangan elaun penerbangan. Jadi, ia tidak adil untuk terus memotong pendapatan kru kabin melalui cuti tanpa gaji yang panjang dan potongan gaji.”

Katanya, syarikat penerbangan mempunyai banyak pilihan lain seperti memotong bayaran eksekutif yang bergaji tinggi dan mengurangkan tuntutan serta elaun perjalanan pengurusan kanan.

Beliau berkata, Nufam turut menasihatkan anak kapal mempertimbangkan tawaran syarikat dengan berhati-hati dan menggesa mereka tidak menandatangani sebarang dokumen sehingga mereka memahami syarat tawaran sepenuhnya.

“Sesetengah syarikat penerbangan mungkin tidak memberikan butiran lebih terperinci dalam surat kepada pekerja yang mungkin mendapati diri dalam dilema kemudian.

“Kami menggesa pekerja menghubungi kami jika mereka tidak pasti mengenai syarat dalam tawaran cuti tanpa gaji.”

Beliau menggesa syarikat penerbangan menawarkan cuti tanpa gaji lebih pendek kerana cuti tanpa gaji yang panjang akan menjejaskan pekerja berpendapatan rendah dan sederhana.

Beliau turut menggesa kerajaan segera mengagihkan elaun kritikal RM200 dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Dr Mahathir Mohamad bagi menangani kesan penularan Covid-19.

Malindo Air mengarahkan pekerjanya mengambil potongan gaji sehingga 50% dan cuti tanpa gaji selama 2 minggu.

Malaysia Airlines pula menawarkan pekerjanya mengambil cuti tanpa gaji satu hingga 3 bulan atau 5 hari untuk sekurang-kurangnya 3 bulan mulai April.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Izham Ismail mengumumkan pengurusan kanan akan mengambil potongan gaji sebanyak 10% dan melepaskan elaun bagi mengurangkan kos operasi.