Putrajaya arah semua sekolah tunda program sukan, kokurikulum

Penangguhan semua program melihatkan perhimpunan ramai di sekolah bertujuan mengekang penularan Covid-19.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan semua program melibatkan perhimpunan ramai seperti sukan dan kokurikulum di semua sekolah seluruh negara ditangguhkan berkuat kuasa hari ini.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, sebarang perubahan terhadap keputusan itu akan dimaklumkan kemudian.

Langkah itu menyusul saranan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menggesa semua perhimpunan melibatkan jumlah ramai ditangguhkan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Semua warga KPM juga diingatkan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) pengawalan penularan jangkitan Covid-19 yang dikeluarkan KKM.

“Warga KPM juga dinasihat menangguhkan perjalanan ke luar negara, terutama ke wilayah atau bandar yang sedang mengalami jangkitan Covid-19,” menurut kenyataan itu.

KPM mengambil cakna penularan Covid-19 dan akan bekerjasama rapat dengan KKM dalam menghadapi gejala itu.

“Penjagaan kesihatan diri yang baik juga perlu diamalkan semua pihak setiap masa dan sekiranya mengalami gejala jangkitan, mereka diminta menghubungi pejabat kesihatan daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Kebangsaan.”

Perkembangan terkini Covid-19 boleh diperoleh melalui laman web rasmi KKM.