Sabah seru tangguh perhimpunan lebih 50 orang

Orang ramai dinasihatkan menjaga kebersihan diri bagi mengelak jangkitan Covid-19.

KOTA KINABALU: Sabah menyeru penangguhan perhimpunan melibatkan lebih 50 orang di negeri itu selepas pengesahan kes pertama Covid-19, semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong juga menasihatkan mereka yang mengadakan mesyuarat di luar Sabah untuk bermesyuarat melalui sidang video atau menggunakan komunikasi digital yang lain.

Menyenaraikan beberapa garis panduan untuk sektor awam dan swasta, Safar berkata mereka diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard yang diumumkan Kementerian Kesihatan.

Beliau mengingatkan orang ramai menjaga kebersihan diri dan menjalankan aktiviti sosial dengan menjarakkan diri sekurang-kurangnya 2m dari orang lain jika mereka menunjukkan gejala seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas.

Beliau berkata mereka harus mengelak berjabat tangan mulai sekarang.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menangguhkan sementara perjalanan ke luar negara jika tiada masalah yang mendesak.

“Mereka diminta untuk tidak melawat tempat-tempat termasuk negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Safar juga menasihatkan mereka yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur untuk menghubungi klinik kesihatan terdekat.

Sabah mengesan kes pertama Covid-19 semalam selepas Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengumumkan seorang lelaki berusia 58 tahun dari Tawau, antara 3 orang yang diuji positif Covid-19 selepas menghadiri ijtimak tabligh itu dari 27 Feb hingga 1 Mac.