Sokong Muhyiddin tidak bermakna musuhi Mahathir, kata bekas pegawai Syed Saddiq

Timbalan menteri belia dan sukan Wan Ahmad Fayshal menafikan beliau mengkhianati bekas bosnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan menyertai Kabinet Muhyiddin Yassin.

PUTRAJAYA: Timbalan menteri belia dan sukan yang baru dilantik Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal menafikan tuduhan yang mendakwa beliau mengkhianati Syed Saddiq Abdul Rahman dengan menyokong perdana menteri dalam gabungan politik baru, Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada FMT, beliau berkata tuduhan tersebut tidak berasas kerana beliau tidak pernah terlibat dengan agenda politik yang membawa kepada pembentukan gabungan baru itu.

Sebaliknya, beliau bertindak sedemikian atas kepentingan parti, terutamanya untuk memperkasa sayap Pemuda PPBM dalam barisan Kabinet baru negara.

Beliau berkata, langkahnya menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak bermakna beliau memusuhi Dr Mahathir Mohamad dan rakan seperjuangannya, Syed Saddiq.

“Malah, ramai dalam kalangan ahli PPBM redha dengan gabungan baru ini sebab mereka sudah melihat sendiri kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-raja Melayu,” katanya ketika ditemui FMT semalam merujuk kepada keputusan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri pada 1 Mac berikutan kebuntuan dalam politik negara susulan peletakan jawatan Mahathir seminggu sebelum itu.

Untuk rekod, Fayhsal sebelum ini merupakan pegawai khas kepada bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum dilantik menyertai Kabinet PN.

Beliau juga merupakan pengerusi biro perhubungan antarabangsa Pemuda PPBM..

Berikutan konflik dalaman PPBM yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PH bulan lepas, Fayhsal secara terbuka menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sekali gus meninggalkan blok pimpinan Mahathir yang disokong oleh Syed Saddiq.

Perubahan sokongan Fayhsal itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, termasuk golongan yang menyifatkan beliau sebagai lalang, pengkhianat, selain menuduhnya menyimpan hasrat untuk mengejar kedudukan dalam Pemuda PPBM.

Ketika ditanya mengapa beliau boleh berubah pendirian dan sokongannya terhadap Mahathir hanya dalam beberapa hari, Fayhsal menegaskan pendirian beliau tidak pernah berubah, terutama sekali melibatkan isu kleptokrasi dan rasuah.

“Kerajaan baru ini berjaya buktikan dengan barisan Kabinet yang bersih rasuah dan berintegriti,” katanya yang mengangkat sumpah sebagai senator 10 Mac lepas bagi membolehkan beliau dilantik menganggotai Kabinet.

SUBHEAD: Hubungan dengan Syed Saddiq masih baik

Dalam pada itu, beliau berkata hubungannya dengan Syed Saddiq masih baik kerana kedua-dua mereka masih berhubung antara satu sama lain atas urusan parti.

“Malah, baru-baru ini beliau mengucapkan tahniah kepada saya atas lantikan ini.”

Katanya lagi, beliau sangat berharap rakan seperjuangannya itu akan kembali kepada parti di bawah pimpinan presiden Muhyiddin untuk bersama-sama membangun negara dan anak muda.

“Saya sendiri perlukan sokongan dan bimbingan beliau untuk meneraju kementerian ini di bawah pimpinan menteri.”