Tangguh bayar balik hutang, CAP beritahu kerajaan akibat Covid-19

Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkata, Covid-19 tidak dapat dikawal jika orang ramai tidak bekerjasama dengan membuat pengorbanan dan membantu kerajaan menanganinya.

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan membenarkan penangguhan bayaran balik hutang, khasnya untuk sektor perniagaan susulan peningkatan kes Covid-19 dalam negara.

Katanya, ini akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat impak virus itu ke atas rantaian bekalan dan pelancongan secara umumnya.

“PKS terdiri daripada 98.5% perniagaan dan menyumbang sehingga 37% keluaran dalam negara kasar.

“Dengan perubahan landskap ekonomi yang cepat, pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang diumumkan lewat Februari tidak mencukupi bagi menangani keperluan rakyat.

“Berdasarkan keadaan ini, kerajaan perlu mengenakan moratorium ke atas bayaran hutang sebagai salah satu cara untuk mengurangkan kesannya,” kata Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mencadangkan pusat tarikan pelancongan ditutup kerana cuti sekolah akan bermula esok.

“Kementerian Pendidikan perlu mempertimbang melanjutkan cuti sekolah selama satu minggu lagi menjadikan ia 2 minggu.”

Katanya, kerajaan juga perlu mempertimbangkan cuti mandatori bagi institusi pengajian tinggi, prasekolah dan pusat asuhan kanak-kanak.

Beliau berkata, kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 perlu dibatalkan, manakala perhimpunan besar dan majlis tidak penting patut dilarang kerana ia berpotensi merisikokan kesihatan orang ramai.

“Kerajaan perlu proaktif dalam menjangkakan situasi yang tidak mudah reda dengan begitu cepat.

“Covid-19 tidak dapat dikawal jika orang ramai tidak bekerjasama dengan membuat pengorbanan dan membantu menanganinya.”