Tanya pendirian Dr M tentang PH, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, pada masa ini PH adalah terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah sementara PPBM telah keluar gabungan politik itu.

PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim menyerahkan kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyatakan pendiriannya dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) selepas pemimpin itu membuat kenyataan tidak akan meneruskan undi tidak percaya terhadap kerajaan baru Perikatan Nasional.

Anwar berkata, Mahathir boleh berubah fikiran mengenai kenyataannya, bagaimanapun parti komponen berharap beliau konsisten dengan pendiriannya bersama PH.

Katanya juga, beliau tidak tahu sama ada Mahathir masih komited kepada PH.

“Setakat ini yang kita maklum bahawa PH terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah. PPBM sudah meninggalkan PH.

“Kita akan terus berbincang dengan Dr Mahathir,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Semalam, pemimpin PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta semua pimpinan PH untuk bertemu bagi menyatakan pendirian mereka terhadap kerajaan baru yang dipimpin oleh Perikatan Nasional.

Ini selepas Mahathir dalam satu wawancara dengan akhbar Sinar Harian menyebut bahawa beliau mungkin tidak mempunyai majoriti untuk mencabar pelantikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat dan kerajaan Perikatan Nasional mungkin bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang (PRU-15 ).

Dalam temu bual itu, Mahathir juga mendakwa bahawa orang Melayu tidak menyokong Anwar kerana mereka takut dengan falsafah politik liberalnya.

Ketika mengulas mengenai dakwaan tersebut, Anwar berkata Mahathir boleh menolaknya sebagai pemimpin negara, tetapi orang Melayu belum tentu berbuat demikian.

Katanya, sehingga kini, beliau terbukti masih mendapat sokongan kaum itu apabila memenangi pilihan raya kecil Port Dickson yang majoriti penduduknya orang Melayu.

Sementara itu, apabila ditanya sama ada beliau akan tetap memasang hasrat untuk menjadi perdana menteri, Anwar berkata, soal itu tidak penting.

Menurutnya, beliau akan menggunakan keupayaan dan kebijaksanaannya untuk memperkukuh dan membina semula parti yang disifatkannya telah dikhianati.

“Saya tetap pada prinsip ini. Mandat rakyat yang harus diteruskan. Saya tahu saya dijanjikan (jawatan), tapi saya dimungkiri,” katanya.