Terlalu awal untuk lanjut cuti atau tutup sekolah, kata NGO

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan berkata, lebih penting untuk orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan mengamalkan kebersihan kerana melanjutkan cuti sekolah bukan jaminan Covid-19 tidak akan mendatangkan risiko selepas sekolah dibuka semula. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) meminta ibu bapa bertenang susulan penularan Covid-19 kerana terlalu awal untuk menggesa penutupan sekolah atau melanjutkan cuti sekolah selama seminggu yang bermula hari ini.

Katanya, ibu bapa sepatutnya menunggu arahan Kementerian Kesihatan.

“Kita tidak patut panik. Apa yang penting sekarang ialah mengambil langkah pencegahan seperti memeriksa suhu badan, amalan kebersihan yang baik dan jika anak tidak sihat, jangan hantar mereka ke sekolah,” kata Presiden PIBGN, Mohamad Ali Hassan kepada FMT.

Penutupan sekolah di negara lain dan berita Singapura bercadang penutupan sekolah mencetuskan perdebatan di media sosial sama ada Malaysia perlu mengambil langkah sama.

Hari ini ialah hari terakhir persekolahan di kebanyakan negeri menjelang cuti sekolah selama seminggu.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) berkata, lebih penting untuk orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan mengamalkan kebersihan.

Setiausaha PAGE, Tunku Munawirah Putra berkata, melanjutkan cuti sekolah bukan jaminan Covid-19 tidak akan mendatangkan risiko selepas sekolah dibuka semula.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) pula berkata, ia akan mengikut nasihat kerajaan berhubung Covid-19.

“Kami amat percaya kerajaan akan bertindak demi kepentingan negara kerana mereka mempunyai semua fakta dan statistik,” kata Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan.

Beliau berkata, guru perlu mencari jalan memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pembelajaran mereka, sama seperti ketika jerebu mengganggu sesi persekolahan sebelum ini.

E-pembelajaran

Ali berkata, kerajaan perlu mempercepatkan pelaksanaan e-pembelajaran (pembelajaran dalam talian) supaya pelajar masih boleh meneruskan pembelajaran mereka walaupun sesi persekolahan terganggu.

“Kita belum bersedia untuk e-pembelajaran, mungkin hanya beberapa sekolah mempunyai kapasiti melaksanakannya. Saya percaya kerajaan mempunyai rancangan untuk beralih kepada e-pembelajaran, mungkin selepas ini (Covid-19) kita boleh mempercepatkan usaha membangunkan e-pembelajaran.”

Beliau juga mengeluh pembelajaran dalam talian belum boleh dilaksanakan.

“Saya juga sangsi universiti asing di sini bersedia untuknya.”