6 lagi kes Covid-19 di Sarawak

Douglas Uggah Embas berkata, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengkaji Borang Deklarasi Kesihatan yang dikumpul daripada 4 lapangan terbang bermula 2 hingga 5 Mac lalu untuk mengesan peserta ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling akhir bulan lalu yang terbang ke Sarawak.

KUCHING: Enam lagi kes Covid-19 direkodkan di Sarawak, menjadikan keseluruhan 9 kes setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Douglas Uggah Embas berkata, 4 pesakit itu dari Kuching dan 2 dari Limbang itu sedang dirawat di hospital.

Beliau menggesa peserta ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Feb hingga 1 Mac lalu segera menjalani saringan kesihatan di hospital berdekatan.

“Kami telah mengesan 311 orang dan percaya lebih ramai peserta dari Sarawak yang hadir ke perhimpunan tersebut.

“Satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengkaji Borang Deklarasi Kesihatan Sarawak yang dikumpul dari 4 lapangan terbang bermula 2 hingga 5 Mac lalu untuk mengesan mereka yang terbang ke Sarawak,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas perkembangan Covid-19 di Sarawak hari ini.

Semalam, Sarawak mengesahkan 3 kes pertamanya dengan 2 daripada pesakit itu pernah menyertai ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac, manakala pesakit ke-3 ialah seorang ahli keluarga salah seorang pesakit terbabit.