Bukit Aman sahkan 18 anggota polis, keluarga negatif Covid-19

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis akan terus membantu KKM di setiap peringkat bagi mengekang Covid-19 daripada terus merebak. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan kesemua 18 kes pegawai dan anggotanya, termasuk ahli keluarga mereka yang disyaki menunjukkan simptom Covid-19 didapati negatif daripada virus berkenaan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi berkata kesemua mereka telah dikuarantin di rumah masing-masing.

“Setakat hari ini, keputusan yang diterima ialah negative, tetapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan mereka berada di bawah pengawasan di rumah masing-masing,” katanya sambil menegaskan polis akan terus membantu KKM di setiap peringkat bagi mengekang virus ini daripada terus merebak.

Dalam perkembangan sama, Acryl berkata ibu pejabat polis Bukit Aman mengambil langkah berjaga-jaga dan mempertingkatkan pencegahan di sekitar kawasan Bukit Aman berikutan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan cecair pencuci tangan pembasmi kuman di setiap pintu masuk pejabat dan premis untuk kegunaan pegawai dan anggota polis bertugas.

“Polis turut mengeluarkan arahan agar menyediakan penutup hidung dan mulut serta sarung tangan kepada pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan.

“Selain itu, polis juga mengambil keputusan untuk membatalkan dan menangguhkan kebanyakan aktiviti seperti sambutan Hari Polis atau perasmian balai polis ke satu tarikh baru,” katanya.

Acryl berkata, ini berikutan saranan kerajaan melalui satu mesyuarat petang semalam supaya semua agensi kerajaan menangguh, menunda atau membatalkan mana-mana aktiviti yang memerlukan orang ramai untuk berhimpun, sama ada dalam kalangan kami atau orang ramai.

Beliau berkata, penugasan setiap pegawai dan anggota polis berjalan seperti biasa, namun langkah pencegahan wabak tersebut dipertingkatkan.

Berikutan itu, Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata warga polis yang bertugas di peringkat ibu pejabat polis Kontinjen (IPK) Selangor turut mengambil langkah pencegahan bagi menangani Covid-19 seperti menangguhkan majlis dan aktiviti yang melibatkan orang ramai.

“Sekiranya sesuatu majlis itu tetap dijalankan maka saringan suhu badan akan dilakukan, selain penyediaan penutup hidung dan mulut kepada anggota polis yang bertugas di lapangan,” katanya.