Covid-19: Jakarta tutup sekolah, pusat pelancongan 2 minggu

Antara kawasan pelancongan yang ditutup adalah kawasan Monumen Nasional, pusat hiburan Taman Impian Jaya Ancol, muzium dan Kota Tua di Jakarta. (Gambar AP)

JAKARTA: Pemerintah Provinsi Jakarta hari ini mengambil pendekatan menutup sesi persekolahan dan pusat pelancongan selama 2 minggu dalam usaha menangani penularan virus Covid-19.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan, dalam satu kenyataan media berkata, penutupan sementara itu bermula hari ini, untuk tempoh 14 hari.

“Tujuan penutupan itu adalah bagi meminimumkan kegiatan (aktiviti) warga (penduduk di Jakarta) di luar rumah,” katanya.

Antara kawasan pelancongan yang ditutup adalah kawasan Monumen Nasional (Monas), pusat hiburan Taman Impian Jaya Ancol (Ancol Dreamland) muzium dan Kota Tua di Jakarta.

“Kami akan mengkaji semula keputusan penutupan itu pada minggu kedua pelaksanaannya nanti (sama ada diteruskan atau sebaliknya),” katanya.

Acara “Car Free Day” yang berlangsung setiap Ahad di Jalan Sudirman, juga dibatalkan untuk tempoh berkenaan.

Bagaimanapun perkhidmatan pengangkutan awam akan beroperasi seperti biasa.

Setakat jam 4 petang ini (waktu Indonesia barat), Covid-19 mengorbankan 4 mangsa, dengan 96 kes disahkan positif di Indonesia.

“Sebanyak 27 kes baru disahkan positif hari ini, (semalam 69), menjadikan jumlah positif sebanyak 96 kes,” kata jurucakap pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto.