Covid-19: Jakim tangguh majlis tilawah al-Quran antarabangsa

Majlis tilawah dan hafazan al-Quran peringkat antarabangsa merupakan acara tahunan anjuran Jakim melibatkan peserta dari lebih 60 negara. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran (MTHQA) peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 11 April ditangguhkan, kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pengarah Jakim Paimuzi Yahya berkata, MTHQA yang dijadual diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Tindakan ini susulan keputusan kerajaan supaya semua perhimpunan, termasuk acara melibatkan penyertaan dalam dan luar negara ditangguhkan berikutan situasi semasa wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MTHQA yang sebelum ini dikendalikan Jakim merupakan acara tahunan negara sejak 61 tahun yang lalu.

Ketua Pengarah Jakim Paimuzi Yahya.

Acara ini disertai lebih 60 buah negara dari seluruh dunia bagi memperdengarkan bacaan dan hafazan ayat suci al-Quran al-Karim.

Terdahulu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negera menurun sebanyak 0.8 hingga 1.2% akibat penularan Covid-19.

Beliau berkata penurunan itu melibatkan hasil sebanyak RM10.8 hingga RM17.3 bilion.