Jemaah hadiri ijtimak tabligh KL dinasihat jangan solat berjemaah jika ada gejala Covid-19

Anggota perubatan dari Kementerian Kesihatan melakukan saringan ke atas jemaah tabligh, kakitangan dan pelajar di Masjid Sri Petaling, ibu negara sejak 12 Mac lalu, selepas seorang peserta ijtimak tabligh di masjid itu disahkan Covid-19 minggu lalu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Nor Hisham Abdullah menasihatkan jemaah tabligh yang menghadiri ijtimak di Masjid Sri Petaling dari 27 Feb hingga 1 Mac lalu supaya tidak menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau, jika mempunyai gejala Covid-19 sehingga mereka disahkan sihat.

Beliau turut menyeru pengurusan masjid dan surau mengingat kembali serta mengesan jemaah yang pernah menghadiri ijtimak tabligh di ibu negara.

“Seterusnya memberi nasihat kepada mereka untuk disaring bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat setempat,” tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau turut mencadangkan ahli jawatankuasa dan pengurusan masjid serta surau mengambil langkah pencegahan dan pembersihan bagi menangani penularan Covid-19.

Beliau menyarankan pengurusan masjid dan surau kerap membersihkan permaidani, pintu dan “railing” menggunakan bahan pencuci dan penyahjangkit.

Hisham menerusi Twitternya berkata, 33 pesakit sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang setakat semalam, ia membabitkan kes ke-27, 28, 31, 32, 34 dan 53.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani dipetik Bernama berkata, kira-kira 1,500 jemaah tabligh yang pernah menghadiri pertemuan di Masjid Sri Petaling akhir bulan lalu sudah berdaftar dengan ahli jawatankuasa masjid terbabit.

“Orang ramai yang mengetahui ahli keluarga, jiran atau rakan yang menghadiri program tabligh itu diminta tampil memberikan maklumat.

“Sehingga kini, KKM tidak ada menghubungi polis untuk membantu mengesan peserta jemaah tabligh yang terlibat,” katanya sambil menambah pihaknya hanya boleh menasihatkan jemaah tabligh itu tampil secara sukarela bagi menjalani pemeriksaan Covid-19.

Beliau berkata, 61 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan Cheras turut dikerahkan mengawal keadaan ketika perhimpunan jemaah tabligh itu berlangsung.

Katanya, semua pegawai dan anggota polis yang terbabit akan menjalani saringan kesihatan dengan Kementerian Kesihatan.

Rabu lalu, seorang jemaah tabligh dalam perhimpunan itu disahkan positif Covid-19.

Sebanyak 39 kes baru dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 197 kes Covid-19 di Malaysia setakat ini.