Kami bukan penumpang kerajaan baru, kata pemimpin Umno

Khaled Nordin berkata, Umno mewakili kepentingan terbesar bangsa Melayu, bukannya PPBM dan parti itu tahu tuntutan yang sesuai dengan sumbangannya dalam membentuk kerajaan baru.

PETALING JAYA: Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin berkata, parti itu menuntut jumlah kerusi yang adil dalam Kabinet pimpinan Muhyiddin Yassin kerana presiden PPBM itu tidak dapat membentuk kerajaan baru tanpa sokongan Umno dan PAS.

“Justeru, Umno adalah pendiri bersama kerajaan Perikatan Nasional dan bukan penumpang.

“Kerana itu Umno merasakan wajar untuk ia mendapat keadilan melalui tuntutan ‘proportionate’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, bekas ketua hakim negara, Abdul Hamid Mohamad dalam catatan blognya berkata, pemimpin Umno masih tidak berubah kerana mereka lebih mementingkan parti dan diri berbanding kepentingan negara, bangsa serta agama dengan membangkitkan isu pembahagian kerusi dalam Kabinet.

Pada 3 Mac lalu, Hamid dilaporkan berkata, Muhyiddin akan kalah dalam undi tidak percaya di Dewan Rakyat, sekiranya Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dilantik ke Kabinetnya.

Hari ini, Khaled berkata, Umno juga bukan “subordinate” PPBM atau Muhyiddin dan ia tahu tuntutan yang sesuai dengan sumbangannya dalam membentuk kerajaan baru.

“Kami mewakili kepentingan terbesar bangsa Melayu, bukan blok Mohamed Azmin Ali dan bukan sesiapa.

“Janganlah lupa hampir 35% ahli Parlimen PPBM menang atas tiket Umno dan selainnya adalah mereka yang melompat dari mana-mana untuk mendapat jawatan.

“PPBM menang 13 kerusi dalam pilihan raya (umum) lepas dengan undi popular yang sangat sedikit, manakala Umno dan PAS menguasai 70% undi popular Melayu.

“Umno tahu di mana ia berada dalam persada politik Melayu dan Malaysia. Ia adalah dukungan sebenar bangsa Melayu dan bukannya PPBM.”

Bekas menteri besar Johor itu berkata, Hamid sepatutnya bimbang dengan kualiti dan kewibawaan anggota Kabinet, bukannya Umno.

Tanpa menyebut sebarang nama individu, Khaled mendakwa ada kalangan individu terpalit skandal yang masih dilindungi dan diberikan tempat dalam Kabinet.

“Bila 10 menteri dari blok Azmin adalah mereka yang tidak menghormati mandat rakyat dan memperdagangkan jawatan ahli Parlimen mereka untuk jawatan, apakah itu sesuatu yang bermoral pada kaca mata Hamid?

“Beberapa lagi yang dilantik dalam PPBM juga begitu. Mereka menang atas tiket Umno, tetapi memilih jawatan daripada wibawa. Apakah ini kepimpinan Melayu yang Hamid absahkan?” katanya sambil menambah kerajaan hanya akan disegani dan diyakini rakyat jika mempunyai anggota Kabinet berwibawa.

Khaled berkata, Umno hanya menjalankan tugas moralnya sebagai parti politik untuk menuntut representasi strategik dengan sumbangannya dan selepas mengambil kira keupayaan serta pengalamannya dalam melestarikan kepentingan bangsa Melayu.

“Umno tidak akan menikus sebagai parti politik, apatah lagi sebagai suara orang Melayu.”

Semalam, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mendakwa ahli Parlimen parti itu sebagai blok terbesar yang membentuk kerajaan baru diketepikan secara tidak adil dalam Kabinet Muhyiddin.

Beliau berkata, ahli Parlimen Umno diberikan portfolio kementerian tidak kritikal berbanding ahli Parlimen blok perdana menteri itu.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said pula dilaporkan berkata, Umno patut diberikan lebih banyak jawatan kanan dalam Kabinet seperti di Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Wanita dan Keluarga.