Kreatif… Jarakkan diri dengan orang ramai guna cakera gergasi

Lelaki mengambil langkah kreatif dengan memakai cakera gergasi untuk jauhkan dirinya dengan orang ramai.

Seorang lelaki di Itali mempunyai cara tersendiri untuk menghalang jangkitan Covid-19 selepas ia diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.

Menerusi klip dikongsikan di Twitter, lelaki itu mengambil langkah ekstrem memakai cakera gergasi sebagai usaha untuk menjarakkan dirinya dengan orang ramai selepas 827 kematian dan 12,462 kes jangkitan dilaporkan di Itali dalam tempoh 2 minggu.

Malah ekoran kebimbangan ini, kerajaan Itali sendiri menguatkuasakan perintah berkurung dalam rumah agar dapat membendung penularan Covid-19.

Dan sejak arahan itu dikeluarkan pergerakan semua rakyat Itali terbatas apabila menyaksikan semua kedai ditutup kecuali farmasi dan kedai makanan.

Perdana Menteri, Giuseppe Conte berkata, arahan penutupan itu dijangka untuk sekurang-kurangnya 2 minggu.

Cara kreatif individu tersebut ketika berkunjung ke pasar Testaccio di Rom turut menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial.

Ketika disoal individu yang merakamkan gelagatnya tentang apakah tujuan jarak keselamatan itu, lelaki itu dengan pantas menjawab: “Untuk koronavirus.”

Jarak sosial yang disarankan WHO adalah pada kira-kira 1 meter dengan individu lain yang batuk atau bersin memandangkan titisan cecair yang dibebaskan itu mungkin mengandungi virus.