LFL bidas polis Singapura serbu firma peguam bela banduan hukuman mati Malaysia

N Surendran berkata, M Ravi menjadi sasaran gangguan dan intimidasi kerajaan serta Jabatan Peguam Negara Singapura sejak beliau menerima kes keldai dadah Malaysia yang dijatuhkan hukuman mati di negara itu.

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi, Lawyers for Liberty membidas polis Singapura menyerbu firma seorang peguam hak asasi manusia terkenal di negara itu yang didakwa ada kaitan dengan kesnya membela hak banduan hukuman mati Malaysia di republik berkenaan.

Penasihat LFL, N Surendran menyifatkan serbuan semalam yang turut menyebabkan telefon bimbit serta pasport Ravi dirampas polis ialah satu bentuk gangguan dan intimidasi yang menyalahi undang-undang.

“Dalam insiden semalam, polis Singapura mendakwa sedang menyiasat Ravi atas dakwaan menghina mahkamah berhubung satu kes membabitkan seorang rakyat Singapura yang dihantar pulang dari Malaysia, di mana Ravi ialah peguamnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Surendran berkata, Ravi menjadi sasaran gangguan dan intimidasi kerajaan serta Jabatan Peguam Negara Singapura sejak beliau menerima kes keldai dadah Malaysia yang menunggu hukuman mati di Penjara Changi.

Beliau memberi contoh Jabatan Peguam Negara Singapura pada bulan lalu mengugut akan mengambil tindakan terhadap Ravi dalam satu pendengaran mahkamah ketika beliau mewakili banduan Malaysia dijatuhkan hukuman mati, Datchinamurthy Kataiah dan Gobi Avedian.

Katanya, Ravi berjaya membuka semula kes Gobi atas alasan kesilapan mahkamah dan serbuan semalam itu dilakukan menjelang pendengaran permohonan yang difailkannya di Mahkamah Rayuan Singapura pada 27 Mac ini.

“Sebelum campur tangan Ravi, Gobi hampir dijatuhkan hukuman mati memandangkan semua rayuannya sudah selesai.

“Susulan tindakan polis dan rampasan pasport semalam, kini tidak pasti sama ada Ravi dibenarkan meneruskan kes itu.”

Surendran berkata, tindakan polis merampas pasport Ravi “ternyata bertujuan menyukarkan Ravi menemui keluarga banduan Malaysia itu dan berhubung dengan peguam cara Malaysia”.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan Singapura menghentikan semua ancaman menyalahi undang-undang, intimidasi dan tindakan polis terhadap Ravi.

“Kami turut menggesa Singapura menghormati hak banduan Malaysia yang dijatuhkan hukuman mati untuk mendapat perbicaraan adil di mahkamah Singapura.

Beliau turut meminta Putrajaya menghantar wakil ke Singapura untuk melindungi hak banduan Malaysia.