Manila dikenakan perintah berkurung 8 mlm hingga 5 pagi cegah wabak Covid-19

Lembaga Pembangunan Metropolitan Manila berkata, perintah berkurung ke atas bandar raya itu akan bermula dari 15 Mac hingga 14 April dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19. (Gambar AP)

MANILA: Perintah berkurung akan dikuatkuasakan di Manila, Filipina bermula Ahad dalam usaha membendung penularan wabak novel koronavirus (Covid-19), kata pihak berkuasa Lembaga Pembangunan Metropolitan Manila (MMDA) pada Sabtu.

Agensi berita Xinhua melaporkan perintah berkurung akan dikenakan pada pukul 8 malam sehingga 5 pagi bermula 15 Mac hingga 14 April.

Filipina melaporkan 64 kes Covid-19, termasuk 6 kematian.

Perintah berkurung itu diluluskan sebulat suara oleh pegawai bandar dan bandar raya Manila.

Pegawai MMDA Bong Nebrija berkat,a mereka yang perlu membuat tugasan “penting” boleh melakukannya di luar waktu perintah berkurung, termasuk yang bekerja, petugas perubatan, pekerja di pasar raya, kedai runcit dan sebagainya.

Pusat beli-belah juga akan diminta ditutup.

Bagaimanapun, pasar raya atau kedai barangan runcit, bank dan farmasi, tetap dibuka seperti biasa.

Perintah berkurung itu merupakan sebahagian langkah “lockdown” yang akan diambil kerajaan pada Isnin untuk mencegah penyebaran virus itu.