Peguam akan bahas usul hapus perkahwinan bawah umur

Usul yang disokong 82 anggota Majlis Peguam itu mahu kerajaan menggubal satu undang-undang persekutuan bagi menghapuskan amalan perkahwinan kanak-kanak.

KUALA LUMPUR: Satu usul menghentikan amalan perkahwinan kanak-kanak difailkan untuk perbahasan pada mesyuarat agung tahunan ke-74 Majlis Peguam hari ini.

Usul itu yang dicadangkan G Srividhya dan Ajeet Kaur itu disokong 82 peguam.

Berdasarkan usul yang dilihat FMT itu, 2 pencadang terbabit yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Hak Kanak-kanak Majlis Peguam, mahu kerajaan menggubal satu undang-undang persekutuan bagi menghapuskan amalan sedemikian.

Ia mahu usia sah berkahwin dinaikkan kepada 18 tahun untuk semua individu dan memberi perlindungan kepada kanak-kanak hasil perkahwinan bawah umur.

Ia juga mahu kerajaan mengambil langkah proaktif segera untuk menyokong dan memastikan orang ramai dididik serta dinasihatkan mengenai perkahwinan bawah umur memudaratkan kanak-kanak dan masyarakat dari segi perubatan, ekonomi serta sosial.

Awal tahun ini, bekas peguam negara, Tommy Thomas dilaporkan berkata, kerajaan Pakatan Harapan mengkaji cadangan menaikkan had umur minimum perkahwinan umat Islam daripada 16 kepada 18 tahun.

Katanya, ia turut mengkaji untuk memperkenalkan hakim Mahkamah Syariah mengambil kira prosedur lebih ketat sebelum membenarkan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah berkahwin.

Bagaimanapun, kerajaan baru ditubuhkan susulan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8 pada 1 Mac lalu.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Peguam, Salim Bashir, dalam notis AGM itu berkata, acara berkenaan akan bermula 10 pagi ini di Dewan San Choon, Wisma MCA walaupun berdepan ancaman Covid-19.

“Seksyen 64(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976 menyatakan kita perlu mengadakan AGM sebelum hari pertama April.”

Katanya, anggota keselamatan akan melakukan saringan kesihatan dan individu dengan suhu badan lebih 38 darjah Celsius tidak akan dibenarkan memasuki premis itu.

Kuorum AGM ialah 500 orang dan jika angka itu tidak mencukupi pada 11 pagi, mesyuarat akan ditangguh sehingga 11.15 pagi pada hari dan tempat sama.