Peserta Wacana Fatwa Halal di Labuan digesa buat saringan kesihatan

5 Mac lalu melakukan saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Membedai hari ini.

LABUAN: Jabatan Kesihatan di sini meminta warga Labuan yang menghadiri Wacana Fatwa Halal pada 5 Mac lalu tampil membuat saringan kesihatan hari ini.

Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, saringan itu penting kerana seorang peserta wacana itu ialah seorang daripada 2 kes positif Covid-19 yang dikesan di pulau bebas cukai itu semalam.

Katanya, 2 kes positif Covid-19 itu antara individu yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada 28 Feb hingga 1 Mac lalu.

“Saya memohon kerjasama seluruh masyarakat Labuan yang telah hadir ke program anjuran pejabat mufti dan Perbadanan Labuan melakukan saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Membedai hari ini.”

Lebih 500 warga Labuan menghadiri Wacana Fatwa Halal yang diadakan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.

Semalam, Kementerian Kesihatan memasukkan Labuan antara negeri/Wilayah Persekutuan yang kini merekodkan kes Covid-19.

Sabah yang merupakan negeri terdekat Labuan mencatatkan 15 kes, manakala negara jiran terdekat Brunei sebanyak 25 kes sehingga semalam.