Pesta Kaamatan di Sabah dibatal kerana Covid-19

Kaamatan adalah perayaan etnik Kadazandusun dan Murut untuk mensyukuri hasil padi. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) sebulat suara membatalkan Pesta Kaamatan yang akan berlangsung 31 Mei ini di negeri itu berikutan penularan Covid-19.

Setiausaha Agung KDCA, Suman Yasambun berkata ia adalah keputusan sukar kerana semua anggota KDCA dan jawatankuasa dari semua daerah sudah bersedia mengadakan sambutan tahunan yang ditunggu-tunggu itu.

“Pesta Kaamatan untuk Kadazandusun adalah masanya untuk mensyukuri hasil tuaian yang melimpah-ruah, masa untuk berkumpul bersama, menjamu selera, mengeratkan hubungan antara kaum dan bersama berkongsi makanan tradisional seperti hinompot (beras yang dimasak dan dibungkus dengan daun), hinava (hidangan yang dihasilkan daripada ikan, perahan limau nipis, cili padi, bawang merah, bawang putih dan halia) serta nomsom bambangan (jeruk mangga) dan minuman tradisional wain beras.

“Malangnya, ancaman Covid-19 menghalang semua ini dan kami merasakan ketiadaan Pesta Kaamatan pada tahun ini bukan sahaja dirasai masyarakat Kadazandusun, tetapi juga rakyat Malaysia pada umumnya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kaamatan adalah perayaan etnik Kadazandusun dan Murut untuk mensyukuri hasil padi selain mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan persahabatan menerusi sambutan besar-besaran bermula di peringkat kampung, daerah dan negeri.