PH kecam insiden serang Khalid Samad di Terengganu

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad membuat laporan polis berhubung insiden serangan melibatkan dirinya di Kuala Terengganu malam tadi. (Gambar Raja Kamrul Bahrin)

PETALING JAYA: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) mengecam tindakan sekumpulan individu tidak dikenali yang menyerang Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad semasa beliau berada di Kuala Terengganu malam tadi.

Majlis itu berkata, pihaknya terkejut apabila menerima berita serangan melibatkan ahli majlis setiausaha PH itu dan memohon supaya polis segera menyiasat insiden berkenaan serta membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

“Majlis setiausaha juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang memberi kerjasama dalam memastikan keselamatan Khalid sehingga beliau tiba di lapangan terbang pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kejadian berkenaan berlaku sekitar jam 10.45 malam, selepas Khalid menghadiri perjumpaan bersama ahli parti itu di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Shah Alam itu bagaimanapun sudah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Astro Awani melaporkan, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Abdul Rahim Md Din mengesahkan laporan yang dibuat pemimpin itu.

Menurutnya, Khalid membuat laporan polis kerana berasa terancam dengan tindakan kumpulan berkenaan dan mengesahkan beliau tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Abdul Rahim, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ugutan jenayah.