Polis nafi laporan anak pemimpin PH ditahan di Singapura cuba bawa RM2 juta

Abdul Hamid Bador berkata, tidak betul laporan mendakwa anak seorang pemimpin kanan PH ditahan di lapangan terbang Singapura atas kesalahan membawa lebih RM2 juta yang tidak diisytiharkan.

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador menafikan laporan mendakwa seorang anak pemimpin kanan Pakatan Harapan ditahan pihak berkuasa Singapura kerana membawa lebih RM2 juta yang tidak diisytiharkan.

“Tidak betul. Kita sedang siasat siapa yang sebarkan berita tidak betul ini,” katanya kepada FMT hari ini.

Terdahulu, akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau memetik sumber boleh dipercayai mendakwa anak pemimpin kanan PH itu ditahan polis Singapura di lapangan terbang republik berkenaan atas kesalahan itu.

Menurut laporan itu, difahamkan seorang individu bergelar “Tan Sri” turut terbabit dalam kes berkenaan.

Akhbar itu melaporkan pemimpin kanan parti komponen PH itu difahamkan ke Singapura untuk mengetahui butiran lanjut kes terbabit.

Sumber dipetik akhbar itu berkata, individu terbabit dalam kes itu dijangka didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.