Sektor terjejas Covid-19 akan diberi diskaun bil elektrik, kata menteri

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah berkata, , agenda merancakkan pertumbuhan industri tenaga boleh baharu akan diteruskan selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

KUALA LUMPUR: Sektor yang terjejas akibat penularan Covid-19 akan diberi diskaun bil elektrik, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata ia merupakan antara langkah yang akan diambil dalam pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan Februari lalu.

“Saya juga akan memastikan supaya industri bekalan elektrik negara menyokong usaha kerajaan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dengan mempercepatkan pelaksanaan projek tenaga boleh baharu dan pembangunan infrastruktur bekalan elektrik negara,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Anuar juga berkata, beliau akan mengumumkan hala tuju industri bekalan elektrik negara di bawah kerajaan baru setelah mendapat penjelasan terperinci mengenainya.

Buat masa ini, pihaknya sedang meneliti perancangan yang dibuat dalam sektor tenaga bagi memastikan inisiatif yang dirancang adalah bertepatan dengan hasrat dan dasar kerajaan baru.

Bagi sektor tenaga, beliau berkata, agenda merancakkan pertumbuhan industri tenaga boleh baharu negara akan diteruskan selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Shamsul Anuar berkata kementeriannya akan menyusun atur dasar, strategi dan tindakan berpaksikan WKB2030 untuk menjadi sebuah negara yang membangun secara mampan melalui penekanan kepada pengukuhan pengurusan tenaga dan sumber asli secara lestari.