Tubuh unit khas pantau, rekod aset menteri, ahli Parlimen, kata pakar

Pada Rabu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, mengarahkan semua jemaah menteri mengisytiharkan harta.

KUALA LUMPUR: Satu unit khas atau agensi wajar diwujudkan bagi merekod dan memantau aset, sumber kekayaan serta harta milik individu berkepentingan, termasuk menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen secara menyeluruh, kata seorang pakar sains politik.

Profesor Dr Nasrudin Mohammed berkata, cadangan itu adalah bagi memastikan maklumat atau data mengenai harta dan aset yang dimiliki individu berkepentingan direkod secara holistik serta telus dengan objektif untuk menegakkan integriti.

“Seperti di negara-negara luar, mereka mempunyai agensi khas iaitu pendaftar aset dan daftar pengisytiharan kepentingan yang merekod dan memantau harta serta aset dan individu berkepentingan secara jelas,” katanya selepas menjadi panel jemputan program Buletin Bernama di Bernama TV hari ini.

Beliau berkata bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah menjalankan penguatkuasaan dan penyiasatan berkaitan rasuah, bukannya sebagai agensi atau entiti yang mengurus tadbir rekod aset serta harta individu.

Pakar sains politik dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universtiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata, pada ketika ini, negara juga tidak mempunyai modul khas berkaitan pengisytiharan harta dan aset bagi tujuan tersebut.

Nasrudin Mohammed.

Nasrudin berkata, untuk menghasilkan modul atau mekanisme mengisytiharkan harta, ia memerlukan masa agak lama kerana perlu mengambil kira pelbagai aspek yang berkaitan.

“Antara aspek yang perlu dititikberatkan, pertama skop modul iaitu siapakah subjeknya, misalnya amalan di negara membangun, bukan sahaja menteri malah orang rapat dengan menteri atau ‘individu berkaitan’ juga perlu isytihar harta.

“Malah jenis aset atau harta juga perlu rekod dan dikenal pasti dengan jelas,” katanya.

Beliau berkata, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pencegahan Rasuah boleh dijadikan panduan oleh Malaysia untuk merangka modul khas bagi pengisytiharan harta.

Nasruddin berkata, langkah mengisytiharkan harta sekali gus akan mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap integriti pemimpin, khususnya jemaah menteri.

Rabu lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mesyuarat Kabinet sulung yang dipengerusikannya mengarahkan semua jemaah menteri mengisytiharkan harta.

Mereka diberi tempoh sebulan untuk melakukannya sebagai komitmen kerajaan membanteras rasuah.